Kajian ini berlatarkan keserumpunan Malaysia dan Indonesia sebagai dua negara berjiran dalam gugusan kepulauan Melayu (Nusantara). Meskipun dua negara ini sering diungkapkan sebagai serumpun, namun terdapat perbedaan ketara dalam bidang kesusasteraan. Perbedaan itu ditandai ideologi dan senario masyarakat sebelum kemerdekaan. Kesusasteraan Melayu berawal dari kalangan penulis Melayu yang berlegar di istana raja-raja Melayu, lalu berkembang membentuk tamadun di pelbagai Kolej Melayu dan institusi pengajian tinggi terawal di Tanah Melayu. Perkembangan kesusasteraan pelbagai kaum kemudian muncul hasil pendidikan kebangsaan. Namun demikian, kesusasteraan itu tidak dapat digolongkan dalam arus perdana lantaran diwarnai budaya imigran dan sistem tulisan negara asal. Manakala kesusasteraan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak yang ditulis dalam bahasa Melayu (sebahagian bahasa etnik) menggunakan sistem tulisan rumi dan berlandaskan agama Islam (sebahagian berasaskan budaya tradisi etnik) belum ditanggapi sebagai sastera arus perdana.
Dalam membuat perbandingan, terdapat perbedaan pengkategorian kepelbagaian kaum (multikultural) sastera Malaysia dan Indonesia. Sastera multikultural Malaysia arus marginal digunakan untuk membandingkan sastera multikultural Indonesia yang bergerak dalam arus perdana dan antarabangsa. Sastera kebangsaan Malaysia tidak dapat digunakan dalam kajian perbandingan kerana mengikut perspektif Indonesia, kesusasteraan kebangsaan Malaysia berada dalam kategori monokultural. Pengkategorian sastera Malaysia penting untuk dirumuskan agar khalayak sastera Nusantara memperoleh rujukan perspektif kesusasteraan Malaysia. Pada waktu yang sama, kajian ini akan menjelaskan perbedaan multikuturalisme kesusasteraan Malaysia dan Indonesia. Bahawa multikulturalisme sastera Malaysia melibatkan golongan imigran zaman kolonial, sedangkan multikulturalisme sastera Indonesia ditandai golongan etnik asal pelbagai pelosok di negara itu.
Kajian ini bertujuan untuk menghasilkan garis besar persamaan dan perbedaan sastera kebangsaan dan sastera multikultural di Malaysia. Kajian ini juga mahu membandingkan sastera multikultural Malaysia dan sastera multikultural Indonesia. Perbandingan dijalankan untuk memberi pencerahan tentang sastera Nusantara dua negara serumpun yang kelihatan sama tapi tidak serupa. Hasil perbandingan diharapkan dapat memperluas horizon khalayak sastera Malaysia dan Indonesia dalam kajian sastera Nusantara. Hasil kajian ini juga dapat menjadi rujukan penting kalangan khalayak sastera di institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia yang menawarkan jurusan bahasa dan sastera. Pelaksanaan kajian ini juga selari dengan saranan untuk menubuhkan Majlis Kesusasteraan Kebangsaan. Penibuhan majlis itu bertujuan untuk menghasilkan pandangan serta idea bagi mengukuhkan kemajuan sastera kebangsaan Malaysia di pentas antarabangsa (Hashim Ismail, 2007).
Karya-karya sastera multikultural Indonesia memaparkan ruang lingkup pergerakan dan persoalan yang merentas sempadan dan budaya lokal, nasional dan internasional. Novel ‘Pulang’ karya Leila S. Chudori (2013) memaparkan budaya global. Multikulturalisme dalam novel berkembang dari kehidupan sehari-hari yang mengungkapkan perbedaan pandangan dalam kalangan generasi. Dalam novel itu dipaparkan pelbagai budaya yang saling mempengaruhi. Meskipun berada di Paris, Dimas, Nugraha, Risjaf, dan Tjai tetap tidak meninggalkan elemen budaya Indonesia (Farida dan Dienaputra, 2021). Novel ‘Kusut’ karya Ismet Fanany (2021) mengisahkan Desna, seorang gadis dari pelosok Minangkabau yang berkahwin dengan lelaki Amerika. Dalam hidup berumah tangga, timbul pertentangan budaya dan tata nilai di antara Barat dan Timur. Penulisnya menggambarkan kehidupan multikultur dengan penuh warna-warni lantaran pernah hidup lama di Amerika (Rulita, et., al., 2014).
Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan konvensional (conventional content analysis) sumber kepustakaan, analisis data naratif temu bual dan soal selidik. Analisis kandungan sumber kepustakaan bertujuan untuk memberi pengetahuan serta memahami gejala yang dikaji. Dalam kajian ini, analisis kandungan kualitatif merujuk kepada kaedah interpretasi subjektif petikan data naratif menerusi proses pengkategorian sistematik serta mengenal pasti tema-tema atau corak (Hsiu-Fang dan Sarah, 2005). Data naratif kajian ini adalah bersifat deskripsi pendapat pelbagai pihak yang diperoleh dari tinjauan pelbagai sumber kepustakaan dan temu bual (Wolf, 2004b dalam Flick, 2009). Analisis data naratif dan soal selidik dijalankan dengan menggunakan kiraan frekuensi dan peratusan serta SPSS (Sullivan, Gail M. dan Artino Jr, 2017; Chua, 2011 dan Salleh, et., al. 2023).
Lokasi pelaksanaan kajian melibatkan Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Lumpur, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universitas Airlangga (UNAIR) Surabaya, Indonesia. Kajian di Kota Kinabalu dan Kuching dijalankan ke atas penggiat kesusasteraan Sabah dan Sarawak yang bernaung di bawah DBP Sabah dan Sarawak. Lokasi Kota Kinabalu dan Kuching dipilih untuk memperoleh maklum balas tentang gagasan kesusasteraan di Sabah dan Sarawak. Kajian di Kuala Lumpur melibatkan penggiat kesusasteraan yang bernaung di bawah Ibu Pejabat DBP dan ahli akademik serta pelajar tahun akhir bidang kesusasteraan Melayu di UPSI, Tanjung Malim, Perak. Lokasi kajian di Ibu Pejabat DBP dan UPSI dipilih untuk memperoleh maklum balas dalam kalangan khalayak sastera arus perdana. Turut dijalankan di UPSI ialah pengumpulan maklum balas dalam kalangan khalayak sastera Cina dan Tamil. Manakala lokasi UNAIR Surabaya dipilih untuk memperoleh maklum balas tentang sastera multikultural Indonesia. Kajian di semua lokasi melibatkan pengumpulan data menerusi FGD (Focus Group Discussion), temu bual dan soal selidik.
Kajian ini dijangka dapat membuat rumusan ke atas empat perspektif utama. Pertama, perspektif tentang sastera kebangsaan Malaysia. Kedua, perspektif tentang sastera pelbagai kaum (multikultural) Malaysia. Ketiga, perspektif tentang sastera multikultural Indonesia. Dan keempat, garis besar persamaan dan perbedaan di antara sastera multikultural Malaysia dan sastera multikultural Indonesia. Rumusan dapatan ini penting untuk manfaat rujukan khalayak sastera dan akademia kesusasteraan Nusantara khususnya di Malaysia dan Indonesia. Hasil kajian ini dilihat sangat penting kerana terdapat andaian umum bahawa kesusasteraan Malaysia dan Indonesia adalah sama berdasarkan keserumpunan bahasa, budaya dan negara sesama Nusantara.
Kajian ini berlatarkan keserumpunan Malaysia dan Indonesia sebagai dua negara berjiran dalam gugusan kepulauan Melayu (Nusantara). Meskipun dua negara ini sering diungkapkan sebagai serumpun, namun terdapat perbedaan ketara dalam bidang kesusasteraan. Perbedaan itu ditandai ideologi dan senario masyarakat sebelum kemerdekaan. Kesusasteraan Melayu berawal dari kalangan penulis Melayu yang berlegar di istana raja-raja Melayu, lalu berkembang membentuk tamadun di pelbagai Kolej Melayu dan institusi pengajian tinggi terawal di Tanah Melayu. Perkembangan kesusasteraan pelbagai kaum kemudian muncul hasil pendidikan kebangsaan. Namun demikian, kesusasteraan itu tidak dapat digolongkan dalam arus perdana lantaran diwarnai budaya imigran dan sistem tulisan negara asal. Manakala kesusasteraan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak yang ditulis dalam bahasa Melayu (sebahagian bahasa etnik) menggunakan sistem tulisan rumi dan berlandaskan agama Islam (sebahagian berasaskan budaya tradisi etnik) belum ditanggapi sebagai sastera arus perdana.
Penulis: Henry Bating PhD, Dr Mochtar Lutfi, Bavani Arumugam PhD





